TRENDING NEWS
Back to news
02 May, 2025
Share:
Chelsea akan beri sambutan 'guard of honour' kepada Liverpool
@Source: bharian.com.my
LONDON: Chelsea akan memberi penghormatan 'guard of honour' kepada juara baharu Liga Perdana Inggeris, Liverpool ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stamford Bridge, Ahad ini, kata pengurus The Blues, Enzo Maresca. Liverpool muncul juara liga buat kali ke-20 selepas meraih kelebihan 15 mata yang tidak mampu lagi dipintas pencabar terdekat, Arsenal dengan empat baki perlawanan musim ini. Walaupun tiada peraturan mewajibkan pasukan lawan memberikan penghormatan berkenaan, Maresca menegaskan anak buahnya akan tetap berdiri berbaris untuk menyambut ketibaan skuad Arne Slot sebelum sepak mula. "Saya rasa ia satu tradisi yang patut diteruskan dan kami mahu lakukannya. Mereka menang liga, mereka layak untuk penghormatan itu dan harapnya satu hari nanti kami juga berada di posisi itu," katanya kepada media. "Kemenangan Liga Perdana adalah sesuatu yang hebat dan kami tidak perlukan 'guard of honour' untuk menyedarinya. Tapi sudah tentu apabila anda menyaksikannya, pasti timbul keinginan dalam diri pemain untuk merasainya sendiri suatu hari nanti." Menariknya, ini kali pertama pemain Liverpool dibenarkan bersalaman dengan lawan selepas bergelar juara, berbeza dengan kejayaan mereka pada 2020 yang disambut tanpa kontak fizikal berikutan pandemik COVID-19. Ketika itu, Liverpool menjuarai liga dengan baki tujuh perlawanan dan menerima 'guard of honour' daripada semua pasukan yang mereka hadapi selepas itu termasuk Manchester City, Aston Villa, Brighton, Burnley, Arsenal, Chelsea dan Newcastle. Chelsea sebelum ini juga memberikan penghormatan sama kepada Manchester City kendalian Pep Guardiola pada musim lalu. Dalam pada itu, Chelsea masih dalam misi untuk menamatkan saingan di kelompok lima terbaik liga bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara. Harapan mereka kembali cerah selepas Nottingham Forest, yang berkongsi mata dengan Chelsea, tewas kepada Brentford. Bagaimanapun, Maresca tidak menjangka Liverpool akan bermain sambil lewa meskipun sudah sah bergelar juara. "Ia perlawanan yang menarik, tapi saya tak fikir mereka akan bermain secara santai walaupun sudah menang liga," katanya. "Mereka pasukan yang sangat bagus dan layak bergelar juara musim ini. Jurang antara kami sangat ketara, tapi saya yakin kami berada di landasan betul dan berharap jurang itu boleh dirapatkan musim depan. "Mungkin perbezaan ketara musim ini adalah tahap konsistensi mereka yang jauh lebih baik berbanding kami." - REUTERS
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.