TRENDING NEWS
Back to news
01 May, 2025
Share:
Impian Messi, Inter Miami berkubur
@Source: bharian.com.my
FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Impian Lionel Messi untuk memenangi trofi Piala Juara-Juara CONCACAF buat kali pertama bersama Inter Miami berkubur pagi tadi dengan Vancouver Whitecaps layak ke final selepas menang 3-1 di Florida selatan sekali gus mara 5-1 secara agregat. Whitecaps akan bertemu pemenang satu lagi separuh akhir antara kelab Mexico, Cruz Azul dan Tigres UANL yang terikat 1-1 menjelang aksi kedua, pagi esok. Siapa pun lawan Liga MX mereka pada final Whitecaps akan tampil penuh keyakinan selepas mengatasi pasukan paling digembar-gemburkan dan paling mahal dalam sejarah Major League Soccer. Berbanding persembahan hambar Miami, Vancouver mempamerkan bola sepak menyerang yang segar dan positif dengan tiga gol pada separuh masa kedua membantu mereka tampil kali pertama pada final pertandingan sebenua. "Saya hanya terlalu gembira dengan setiap orang di kelab ini," kata jurulatih Whitecaps dari Denmark, Jesper Sorensen. "Saya agak baru di sini tetapi saya tahu ramai yang sudah bekerja beberapa tahun dan tidak melihat detik sebegini," katanya. Ketinggalan 2-0 daripada aksi pertama, Miami bermula dengan sempurna apabila bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Jordi Alba meletakkan mereka di depan selepas hanya sembilan minit namun semuanya berakhir pada babak kedua. Bagi Miami, fokus mereka kini ditumpukan kepada Piala MLS pertama dan kempen Piala Dunia Kelab FIFA. "Sekalipun ini kali pertama kelab layak ke separuh akhir, kekalahan ini amat memilukan kerana kami sudah membayangkan untuk layak ke final, melihat pasukan ini, dengan sejarah singkat, buat kali pertama ke final pertandingan paling penting di CONCACAF," kata jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano. "Namun kami perlu menerima hakikat lawan kami... menguasai kami. Kini kami harus fokus kepada MLS. Saya tidak memikirkan mengenai Piala Dunia Kelab. Ada sebulan setengah lagi dan ia satu kesilapam jika kami menumpukan kepadanya," tegas warga Argentina itu. – AFP
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.