TRENDING NEWS
Back to news
24 Jul, 2025
Share:
Inisiatif Sejahtera Madani kutip hampir RM120 juta, lepasi sasaran, kata PM
@Source: freemalaysiatoday.com
Anwar Ibrahim menerima sumbangan Inisiatif Sejahtera Madani daripada Pengarah Urusan YTL Power International Berhad Yeoh Seok Hong. PUTRAJAYA: Kerajaan mengumpul hampir RM120 juta daripada sektor swasta bagi inisiatif Sejahtera Madani yang dilancarkan hari ini. Dana itu bertujuan membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih. Bercakap semasa majlis pelancaran di Kompleks Seri Perdana hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jumlah kutipan itu jauh melebihi sasaran awal iaitu RM50 juta. “Ini membuktikan keyakinan sektor swasta terhadap usaha kerajaan membantu golongan rentan menerusi program berfokus seperti Sejahtera Madani,” katanya. Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula berkata dana dikumpul Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu bukan sahaja merangkumi bantuan kewangan, malah termasuk barangan, perkhidmatan dan latihan. “Kita fokus kepada pembasmian kemiskinan bandar. Untuk tangani masalah kemiskinan, kita tidak beri ikan, sebaliknya kita ajar cara menangkap ikan,” katanya kepada media hari ini. Menurut kenyataan ICU, inisiatif Sejahtera Madani bertujuan membantu golongan berdaftar dalam eKasih meningkatkan pendapatan dan pendidikan mereka, serta menyediakan keperluan perumahan dan kebajikan. Inisiatif ini menyelaraskan pelbagai bentuk bantuan merentasi kementerian, agensi dan sektor swasta dalam satu pendekatan berfokus dan bersepadu bagi menangani isu kemiskinan. “Semua sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” menurut kenyataan itu lagi. Antara syarikat yang telah menyumbang kepada program ini termasuk Tenaga Nasional Bhd, Petronas, Malaysian Resources Corporation Bhd, YTL Corporation, FGV Holdings dan Farm Fresh Bhd.
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.