FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Lionel Messi menyumbat dua gol serta mencipta dua umpanan jaringan ketika Inter Miami membelasah Columbus Crew 5-1 pada aksi Major League Soccer (MLS) pagi tadi, sekali gus memberi suntikan moral menjelang kempen Piala Dunia Kelab pada 14 Jun.
Miami akan membuka tirai kejohanan baharu anjuran FIFA itu menentang juara Afrika, Al Ahly.
Selepas mengalami penurunan prestasi sebelum ini, skuad kendalian Javier Mascherano kini dilihat kembali menemui rentak mereka, mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Montreal 4-2 pada pertengahan minggu.
Kemenangan itu, yang turut menyaksikan Messi dan Luis Suarez masing-masing menjaringkan dua gol, sedikit sebanyak meredakan tekanan ke atas Mascherano dan keyakinan itu jelas ditonjolkan sejak awal permainan.
Columbus, antara pasukan paling konsisten dalam MLS sejak tiga musim lalu, tampil longgar di bahagian pertahanan dan gagal mengawal asakan jentera serangan Miami diketuai Messi.
Tadeo Allende membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 apabila Messi, yang turun ke posisi tengah, menghantar bola lambung jauh melepasi pertahanan lawan, membolehkan Allende menjaringkan gol dengan tenang.
Dua minit kemudian, penjaga gol Columbus, Nicholas Hagen - yang menggantikan Patrick Schulte - melakukan kesilapan besar apabila menghantar bola terus ke kaki Messi.
Bintang Argentina itu pantas melakukan sepakan lambung melepasi Hagen yang berusaha menyelamatkan keadaan tetapi bola tetap menerjah jaring.
Messi menambah gol ketiga Miami pada minit ke-24 apabila menerima hantaran bijak Sergio Busquets dan sekali lagi menyudahkan peluang dengan sepakan lambung menewaskan Hagen.
Columbus cuba bangkit menerusi tandukan padu Cesar Ruvalcaba pada minit ke-58, namun enam minit kemudian, Miami kembali mempunyai kelebihan tiga gol.
Messi sekali lagi menjadi arkitek, menyelinap di bahagian tengah sebelum mengumpan kepada Telasco Segovia yang kemudiannya melorong kepada Suarez untuk menjaringkan gol keempat.
Dia melengkapkan malam gemilangnya apabila mencipta satu lagi umpanan gol, kali ini buat pemain gantian Fafa Picault yang meledak gol kelima untuk melengkapkan kemenangan besar.
Messi kini akan menyertai skuad kebangsaan Argentina bagi tugasan antarabangsa. Argentina, yang sudah layak ke Piala Dunia 2026, akan menentang Chile pada Khamis sebelum melayan kunjungan Colombia pada 10 Jun. – AFP
Related News
08 Mar, 2025
Italy's Paris wins World Cup downhill to . . .
20 Apr, 2025
Being a trans boy on a girls’ rugby team . . .
10 Jul, 2025
European Court To Rule In Semenya Sports . . .
07 Apr, 2025
Sports News | Dream Sports Championship . . .
12 Jul, 2025
James Gunn's Superman has finally found . . .
17 Apr, 2025
Foreign exchange rates
13 Feb, 2025
Late Maeda goal gives Celtic faint hope . . .
21 May, 2025
GSSA 2025: Houderrani double helps Alban . . .