TRENDING NEWS
Back to news
18 May, 2025
Share:
MIROS, Alpha International jalin kerjasama strategik tingkat latihan keselamatan jalan raya
@Source: bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Alpha International Training & Consultancy memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi memperkukuhkan pembangunan latihan berkaitan keselamatan jalan raya. Majlis pertukaran MoA itu berlangsung pada Simposium Konsortium Pakar Kenderaan Moden (MOVE) yang diadakan sempena Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam. Pertukaran MoA itu membabitkan Ketua Pengarah MIROS, Profesor Madya Dr Siti Zaharah Ishak, serta Ketua Pegawai Eksekutif Alpha International Training & Consultancy, Prof Dr Louis Adaikalam yang juga Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia, dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah. Kerjasama strategik itu sejajar dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, baru-baru ini, mengenai keperluan mendesak untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta melaksanakan inisiatif keselamatan jalan raya yang bersifat ke hadapan. Sehubungan itu, MIROS dan Alpha International akan bekerjasama dalam membangunkan dan melaksanakan program latihan khusus dalam bidang keselamatan jalan raya dan aspek berkaitan. Sebagai inisiatif pertama bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bersama menganjurkan Program Pensijilan Pemulihan & Pengurusan Tidur. Program itu adalah satu kursus inovatif bermatlamat untuk menangani isu kurang tidur dan impaknya terhadap keselamatan jalan raya. Ia dihasil untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan perubahan tingkah laku dan melengkapi pengguna jalan raya, terutama pemandu komersial serta pengendali pengangkutan, dengan kemahiran mengurus keletihan secara berkesan. Siti Zaharah berkata, kerjasama itu mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan aspek keselamatan jalan raya melalui pendekatan latihan yang lebih inovatif dan berstruktur. "Kerjasama antara MIROS dengan Alpha International mencerminkan visi bersama ke arah jalan raya yang lebih selamat menerusi pembangunan keupayaan serta inovasi dalam latihan. "Kami percaya kerjasama ini mampu membawa perubahan nyata terhadap amalan keselamatan jalan raya pada peringkat nasional dan serantau," katanya. Louis pula berkata, kedua-dua pihak menyasarkan untuk bersama menyediakan penyelesaian latihan berimpak tinggi yang sejajar keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada matlamat keselamatan jalan raya jangka panjang negara ini. Pelaksanaan inisiatif bawah MoA itu dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang, didahului dengan Program Pensijilan Pemulihan & Pengurusan Tidur.
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.