TRENDING NEWS
Back to news
25 Jul, 2025
Share:
Pengalaman 46 tahun bawa Hilal julang trofi Aktor Terbaik
@Source: bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Pelakon 'senior', Datuk Hilal Azman terharu selepas 46 tahun bergelar anak seni, akhirnya dia meraih trofi Aktor Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) Ke-61 di Macau, China. Datuk Hilal atau nama penuhnya Nor Hilal Abdullah, 65, tidak menyangka lakonan dalam filem Memori dapat menewaskan calon antarabangsa lain. "Selepas 46 tahun saya dalam bidang ini, inilah kali pertama saya menang trofi Aktor Terbaik. Saya pernah menang Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa. "Alhamdulillah, bukan mudah hendak menewaskan calon dari negara lain termasuk Filipina, Jepun dan China. "Syukur Allah beri saya rezeki ini. Kalau di Malaysia menang anugerah Aktor Terbaik, kita bertanding dengan calon di negara kita sahaja," katanya ditemui pada majlis tayangan filem Memori di ibu negara, Selasa lalu. Hilal berkata, filem Memori sudah mencipta sejarah dalam pelbagai festival filem antarabangsa dengan memenangi lebih 20 anugerah termasuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Suntingan Terbaik dan Penerbit Terbaik. "Filem Memori menang anugerah dalam hampir semua sudut. Alhamdulillah, Memori antara karya terbaik yang pernah saya jayakan. Saya hargai diberi peluang dalam projek ini," katanya. Memori terbitan Creative Stew mengharumkan nama Malaysia dengan kemenangan pada festival filem antarabangsa, termasuk Festival Filem Cannes, Festival Filem Bebas Dubai, Anugerah Filem Antarabangsa New York dan banyak lagi. Filem Memori juga diraikan pada festival filem di Los Angeles, New York, Mexico, China, Berlin, India, Tokyo, Singapura dan Filipina. Hilal berkata, filem Memori istimewa kerana ia berdasar kisah benar, iaitu daripada pengalaman pengarahnya, Abid Hussain. "Saya buat penyelidikan daripada perjalanan hidup arwah bapa pengarah sendiri. Dia tunjuk dalam video bagaimana bapanya bergerak, bercakap dan menjerit. "Babak jerit yang saya lakonkan, Abid terpaksa buka 'headphone' kerana dia menangis dan dapat rasa sama seperti apa dilakukan bapanya, sebelum ini. "Saya hanya dapat 'rasa' melalui video yang ditonton dan berkat ajaran daripada sembilan guru lakonan serta pengalaman 46 tahun membuatkan saya mampu membuat 'improvasi' dengan baik," katanya. Memori memaparkan kisah menyentuh hati mengenai hubungan tegang antara seorang bapa dan anak lelakinya, yang terkesan akibat peristiwa silam yang penuh pergolakan. Kisah berkisar seorang anak yang mencari alasan untuk memaafkan dan sebapa yang perlahan-lahan hilang ingatan akibat penyakit Alzheimer. Selain Hilal, filem Memori dibintangi Hisyam Hamid, Diana Danielle, Anas Ridzuan, Aanantha Rajaram, Pushpa Narayan dan Aajaay Suresh. Memori diedarkan GSC Movies dan akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai 31 Julai ini.
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.