SEATTLE, Amerika Syarikat: Khvicha Kvaratskhelia dan Achraf Hakimi meledak gol pada setiap babak ketika juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) menang selesa 2-0 ke atas Seattle Sounders awal pagi tadi bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab.
PSG perlu bangkit selepas kekalahan 0-1 kepada Botafogo pada perlawanan terakhir Kumpulan B dan mereka ternyata terlalu kuat buat kelab Major League Soccer (MLS) itu meskipun tidak beraksi pada tahap terbaik.
Kvaratskhelia menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-35 apabila percubaan tersasar Vitinha terkena badannya lalu menerjah jaring di hadapan 50,628 penyokong di Lumen Field, gelanggang sendiri Sounders.
Hakimi kemudiannya menggandakan kedudukan pada pertengahan babak kedua sekali gus memadamkan harapan kebangkitan pasukan tuan rumah.
PSG layak ke pusingan seterusnya selaku juara kumpulan berdasarkan perbezaan gol, melonjak dari tangga kedua hasil kekalahan lewat Botafogo kepada Atletico Madrid yang berlangsung serentak di Pasadena.
Juara Perancis itu kini akan bertemu naib juara Kumpulan A di Atlanta pagi Isnin ini, sekali gus menamatkan perjalanan mereka di pantai barat sejak tiba di Amerika Syarikat.
"Ia bukan perlawanan yang mudah kerana permukaan padang amat berbeza berbanding di Eropah, jadi kami tidak dapat bermain dengan lancar seperti biasa, tetapi kami berjaya menyesuaikan diri," kata jurulatih PSG, Luis Enrique.
Beliau turut mengeluh bola "melantun seperti arnab", namun tetap memuji persembahan pasukan lawan.
"Ia satu perlawanan hebat, sukar buat kami, mencabar sejak awal kerana Seattle bermain dengan amat baik, penuh intensiti dan kualiti di tengah padang," ujar jurulatih dari Sepanyol itu.
Enrique membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama susulan kekalahan kepada Botafogo, dengan Marquinhos (kapten), Nuno Mendes, Fabian Ruiz dan Joao Neves kembali diturunkan.
Bagaimanapun, Ousmane Dembele - penjaring terbanyak PSG musim lalu dengan 33 gol dalam semua pertandingan - masih tidak diturunkan buat kali ketiga berturut-turut selepas menyertai kejohanan ini dalam keadaan cedera.
Seattle Sounders memerlukan kemenangan besar serta kekalahan Atletico untuk mara ke pusingan 16, sesuatu yang sukar dicapai oleh juara Liga Juara-Juara CONCACAF 2022 itu.
Mereka tidak cukup tajam untuk benar-benar mengancam PSG, yang hampir membuka jaringan awal melalui rembatan padu Desire Doue yang berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Stefan Frei.
Pemenang Liga Juara-Juara UEFA itu akhirnya membuka tirai jaringan 10 minit sebelum rehat apabila bola melantun kepada Vitinha di luar kotak penalti dan rembatan pemain itu terkena belakang Kvaratskhelia sebelum masuk ke gawang.
Gol kedua hadir pada minit ke-66 selepas Doue melakukan hantaran cantik ke sayap kepada Bradley Barcola yang membuat larian dari sebelah kiri sebelum menghantar bola kepada Hakimi untuk disudahkan. – AFP
Related News
09 May, 2025
'It was all a bit crazy when you think b . . .
18 Apr, 2025
Ukrainian tennis player Lesia Tsurenko s . . .
26 Apr, 2025
Munster's URC play-off hopes suffer blow . . .
03 Jun, 2025
CRICKET-CWI-Holder and Russell return as . . .
24 Jun, 2025
"So Blessed"- Simone Biles turns nostalg . . .
30 May, 2025
Ray Winstone wants to retire to Italy
24 Apr, 2025
I’m slim thicc and did a huge summer Pri . . .
04 Apr, 2025
Mumbai News: Stray Dog Population Declin . . .