TRENDING NEWS
Back to news
21 Jun, 2025
Share:
Saya bukan kawan Ronaldo - Messi
@Source: bharian.com.my
MIAMI, Amerika Syarikat: Lionel Messi memberikan gambaran mengenai hubungannya dengan Cristiano Ronaldo, namun secara jujur mengakui mereka bukanlah kawan rapat. Dua legenda bola sepak itu kekal sebagai antara pemain paling berjaya dalam sejarah, dengan hampir 2,000 gol dicatatkan bersama kelab dan negara sepanjang karier mereka. Messi memenangi pelbagai anugerah individu termasuk lapan Ballon d'Or, manakala Ronaldo menjadi pencabar terdekatnya dengan lima anugerah. Tidak hairanlah jika mereka sering digelar sebagai GOAT (Greatest of All Time) dan penyokong kerap membandingkan statistik mereka - walaupun kedua-duanya kini di penghujung karier, dengan Ronaldo kini berusia 40 tahun dan Messi bakal menginjak usia 38 minggu depan. Ronaldo kini beraksi di Liga Pro Saudi bersama Al-Nassr, manakala Messi mewakili Inter Miami dalam kancah Major League Soccer (MLS). Terdapat kemungkinan kecil mereka bertembung semula pada Piala Dunia Kelab bulan ini, tetapi Ronaldo menolak tawaran daripada kelab yang menyertai kejohanan versi baharu itu. Malah sepanjang karier mereka, pertemuan antara dua ikon itu hanya berlaku apabila mewakili kelab atau negara masing-masing. Disebabkan itu, Messi mengakui dia tidak mungkin akan menjalin persahabatan rapat dengan Ronaldo, memandangkan mereka jarang berhubung secara peribadi. Dalam satu wawancara bersama DSports, Messi berkata: "Saya amat menghormati dan mengagumi Cristiano Ronaldo serta kariernya yang luar biasa - dan dia masih lagi bersaing di tahap tertinggi. "Persaingan kami berlaku di tengah padang. Masing-masing mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan masing-masing. Tetapi seperti biasa, semuanya berakhir di tengah padang sahaja. "Di luar padang, kami dua insan biasa. Kami bukan kawan rapat kerana kami tidak pernah meluangkan masa bersama, tetapi kami sentiasa saling menghormati." Kenyataan itu selari dengan pandangannya sebelum ini mengenai hubungan mereka yang tidak rapat. Dari segi jumlah jaringan, Ronaldo masih mendahului dengan 938 gol bersama kelab dan negara sepanjang kariernya, berbanding Messi yang kini mengumpul 866 gol. – AGENSI
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.