TRENDING NEWS
Back to news
08 Aug, 2025
Share:
'Saya terkilan tak sempat tunai permintaan terakhir arwah makan nasi di rumah'
@Source: bharian.com.my
SETIU: "Saya tak sempat tunai permintaan terakhir arwah untuk makan nasi di rumah pada Ahad lalu," kata Maznah Ismail, 64, ibu kepada Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35. Mohd Hafizul maut dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah, berhampiran Taman Golf di Alor Setar, Kedah, semalam. Maznah berkata, arwah menghubunginya ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kedah atas urusan kerja. "Arwah beritahu mahu singgah makan nasi di rumah ketika itu dia sudah berada di kawasan Felda Belara, Terengganu. "Saya beritahu tak sempat untuk mencari barangan basah memasak nasi minyak yang menjadi kegemarannya kerana lokasinya sudah hampir dengan kawasan rumah," katanya ditemui di Kampung Pak Kancil, di sini, hari ini. Katanya, kali terakhir dia dan suami Mazlan Umar, 64, bertemu dengan anak ketiga daripada tujuh beradik itu pada malam Sabtu lalu. "Arwah singgah di rumah ini dengan beberapa rakan sekerjanya ketika mereka dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Terengganu. Arwah mengadu letih kerana jadual kerja padat "Ketika jumpa arwah tidak banyak cakap dan dia sempat luahkan isi hati rasa letih kerana jadual kerjanya sekarang sangat padat serta jarang dapat meluangkan masa dengan keluarga. "Arwah juga merancang untuk pulang bercuti pada 16 Ogos ini bersama isteri serta tiga anaknya bagi menghadiri majlis kenduri keluarga," katanya. Katanya, arwah minat menjadi polis sejak kecil mengikut jejak langkah ayahnya yang juga seorang pesara polis. "Dalam keluarga hanya dia dan adiknya yang menjadi polis serta seorang menantu kami. "Dia anak yang baik serta rapat dengan keluarga walaupun sudah 15 tahun bertugas di Kedah namun selalu menghubungi keluarga setiap hari," katanya. Sementara itu bapanya, Mazlan berkata, mereka reda dengan pemergian arwah ketika melaksanakan tugas. "Sebagai seorang bekas anggota polis saya sedar risiko keselamatan yang terpaksa dihadapi anak ketika bertugas berdepan dengan penjenayah. "Saya dan isteri dapat tahu arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Shah Alam namun berpatah balik ke Setiu apabila sampai di tol Gombak kira-kira jam 4 petang semalam," katanya.
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.