TRENDING NEWS
Back to news
19 Jun, 2025
Share:
FSR Sports Exposure beri pendedahan prospek kerjaya sukan
@Source: bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Program FSR Sports Exposure 2025 anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka peluang pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai prospek kerjaya dalam bidang sains sukan dan rekreasi. Program yang berlangsung di Dataran Gunasama FSR, UiTM Shah Alam itu membabitkan penyertaan seramai 112 pelajar daripada pelbagai institusi termasuk Sekolah Sukan Negeri Selangor, SMK Damansara Damai 1, SMK Sungai Kapar Indah dan Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Majlis perasmian disempurnakan Dekan FSR, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, dengan pembabitan aktif 74 mahasiswa jurusan Pengurusan Sukan semester empat dan lima sebagai tenaga penggerak utama program berkenaan. Program bertujuan memberi kefahaman menyeluruh kepada peserta mengenai laluan akademik dan kerjaya dalam bidang Pengurusan Sukan serta Sains Sukan, selain membentuk pemikiran kritikal terhadap peluang dalam industri sukan tanah air. Turut mencuri tumpuan ialah sesi perkongsian pengalaman bersama penyampai berita sukan TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil dan pengulas sukan, Syafiq Asyraf, yang berkongsi cabaran serta realiti dunia penyiaran sukan secara langsung bersama peserta. Lebih menarik, atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan turut hadir memeriahkan program, memberikan peluang kepada peserta mendekati dunia sukan profesional dan mengenali lebih dekat tokoh sukan tanah air. Beberapa entiti industri turut terbabit dalam program ini termasuk TW Racing Team Development dan Pro Active Massage yang berkongsi pengalaman berkaitan pembangunan bakat sukan serta kepentingan sains pemulihan dalam prestasi atlet. Selain itu, pelbagai pameran dan aktiviti turut dijalankan seperti golf, dodgeball dan gymnasium yang bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah berjaya menarik minat peserta untuk meneroka bidang sukan sebagai kerjaya masa depan.
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.