ANKARA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada Khamis mengecam keras keputusan Hungary untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Anadolu Ajansi.
Hungary mengumumkan keputusan itu sejurus selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tiba di Budapest untuk lawatan selama empat hari.
Netanyahu kini berdepan waran tangkap atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Semenanjung Gaza, ketika lebih 50,500 orang terbunuh dalam serangan ganas Israel sejak Oktober 2023.
"Kami menganggap keputusan ini sebagai tindakan tidak bermoral yang menunjukkan keterlibatan secara terang-terangan dengan seorang penjenayah perang yang melarikan diri daripada keadilan antarabangsa.
"Ini satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip keadilan manusia, tamparan terhadap keadilan antarabangsa dan mencerminkan dasar berat sebelah yang diamalkan oleh beberapa kerajaan Barat.
"Inilah yang melemahkan sistem kehakiman antarabangsa, menggalakkan kekebalan daripada hukuman, dan menjadi ancaman langsung terhadap keamanan serta kestabilan global," kata Hamas dalam satu kenyataan.
Hamas menyeru kerajaan Hungary supaya 'segera menarik balik keputusan berat sebelah dan memalukan itu', dan sebaliknya memenuhi tanggungjawab undang-undangnya.
"Serahkan penjenayah perang Netanyahu kepada ICC bagi membawanya ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal atas pembunuhan beramai-ramai serta genosid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin."
Lawatan Netanyahu ke Hungary menandakan lawatan pertamanya ke Eropah sejak ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap perdana menteri itu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada November.
Kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch, turut menggesa Hungary menahan Netanyahu dan menyerahkannya kepada ICC.
Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di Gaza.
Related News
17 May, 2025
Florida airport closes after vehicle cat . . .
07 Jun, 2025
The 'lawless' UK estate where residents . . .
08 Jul, 2025
I review fitness trackers and my favorit . . .
03 May, 2025
Aubrey Park celebrates 20 years, thanks . . .
07 May, 2025
Scott Brown hails defensive effort as Ay . . .
01 Jun, 2025
Punjab Kings vs Mumbai Indians live stre . . .
12 Apr, 2025
The Spiritual Lookman
12 Mar, 2025
In Arrest Memo, DRI Says Ranya Rao Strap . . .