TRENDING NEWS
Back to news
09 Jul, 2025
Share:
Liverpool tetapkan harga Nunez RM404 juta
@Source: bharian.com.my
LONDON: Liverpool sudah menetapkan harga buat Darwin Nunez bagi jendela perpindahan musim panas ini. Nunez menyertai Liverpool tiga tahun lalu menerusi perpindahan bernilai £85 juta (RM490 juta) - satu rekod kelab pada ketika itu - namun kini kelihatan bersedia untuk meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas sekadar memainkan peranan kecil di bawah kendalian pengurus Arne Slot. Penyerang berusia 25 tahun itu menjaringkan lima gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam EPL musim lalu ketika Liverpool memenangi liga, tetapi hanya tampil dalam kesebelasan utama sebanyak lapan kali. Kini dia dilaporkan berkemungkinan meninggalkan Anfield pada musim panas ini dengan Napoli, Atletico Madrid dan Al-Hilal antara kelab yang sedang memantau keadaannya. Pasukan kendalian Antonio Conte berminat untuk memperkuat barisan serangan mereka, dengan harapan mengurangkan kebergantungan kepada Romelu Lukaku dan mencabar kejuaraan Serie A buat kali kedua berturut-turut serta mara jauh dalam Liga Juara-Juara musim depan. Namun sebarang perpindahan mungkin menyebabkan Liverpool mengalami kerugian sekitar £15 juta (RM86 juta) kerana mereka dilaporkan hanya menuntut sekitar £70 juta (RM404 juta) untuk melepaskan penyerang Uruguay itu. Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis dilaporkan mengambil alih sendiri urusan rundingan perpindahan bagi mendapatkan Nunez sebagai usaha juara Itali itu untuk memuktamadkan perjanjian. Menurut Corriere dello Sport, De Laurentiis sendiri berhubung secara langsung dengan ejen Fali Ramadani yang kini bertindak sebagai perantara dalam perjanjian itu. Napoli juga dilaporkan mempunyai alternatif lain sekiranya gagal mendapatkan Nunez. Penyerang Udinese, Lorenzo Lucca turut berada dalam senarai pendek mereka, namun penyerang kebangsaan Itali berusia 24 tahun itu dijangka menelan kos sekitar £34 juta (RM196 juta). Walaupun begitu, Napoli masih mengekalkan minat terhadap Nunez dan kini perlu memutuskan sama ada mereka bersedia membayar lebih untuk mendapatkan khidmatnya berbanding Lucca. Jika Nunez menyertai Napoli, dia bakal bergandingan dengan beberapa bekas bintang EPL. Bekas pemain tengah Manchester United, Scott McTominay dinobat sebagai Pemain Terbaik Serie A musim lalu dan kini bermain beraksi di samping rakan senegara Scotland serta bekas pemain Chelsea, Billy Gilmour. Kevin De Bruyne juga sudah melengkapkan perpindahan ke Stadium Diego Armando Maradona bulan lalu, manakala Rasmus Hojlund dan Trevoh Chalobah turut dikaitkan dengan kelab itu. – AGENSI
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.