TRENDING NEWS
Back to news
11 Apr, 2025
Share:
Penguatkuasaan berkaitan minyak enjin diperakukan oleh SIRIM ditangguh selama enam bulan - KP KPDN
@Source: bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menangguhkan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024 selama 6 bulan. Penangguhan itu akan bermula dari tarikh penguatkuasaan asal iaitu pada Isnin lalu. Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata apabila tempoh penangguhan itu berakhir, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar atau penjual yang menjual produk yang tidak diperaku dan tiada label pematuhan yang sah daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM). "Kementerian sudah pun merangka satu perundangan khusus bagi melindungi dan mengawal selia jualan dan pengedaran minyak enjin di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024 dan bermula Isnin lalu (7 April), minyak enjin kenderaan motor yang dijual di pasaran tempatan diwajibkan mempamerkan label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM. "Bagaimanapun, KPDN turut menerima beberapa permohonan dan maklum balas daripada pemain industri dan persatuan berkaitan minyak enjin berhubung kekangan teknikal dalam mematuhi pelaksanaannya, terutama dalam aspek kesukaran untuk menghabiskan bekalan minyak enjin yang sudah diedar dan sedang berada di pasaran tempatan. "Justeru, KPDN bersetuju menangguhkan penguatkuasaan ini selama 6 bulan bermula dari tarikh penguatkuasaan asal," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Azman turut memberi amaran supaya pihak industri mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan minyak enjin yang akan dijual di pasaran telah mempunyai label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM pada 7 Oktober 2025 kelak. "Selepas tempoh penangguhan ini berakhir, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar atau penjual yang menjual produk yang tidak diperaku dan tiada label pematuhan yang sah daripada SIRIM. "Mana-mana pertubuhan perbadanan, yang disabitkan kesalahan di bawah Perintah ini boleh didenda tidak melebihi RM200,000. Bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, KPDN akan meneruskan sesi libat urus bagi memastikan pihak industri mengambil langkah segera bagi mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024. "Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara berkaitan boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak melalui beberapa saluran antaranya WhatsApp ke 019-848 8000 atau di https://eaduan.kpdn.gov.my," katanya.
For advertisement: 510-931-9107
Copyright © 2025 Usfijitimes. All Rights Reserved.