MIAMI, Amerika Syarikat: Dengan jumlah hadiah lumayan mencecah AS$1 bilion (RM4.2 bilion), kehadiran bintang besar bola sepak dunia dan penyertaan kelab dari seluruh dunia, Piala Dunia Kelab baharu anjuran FIFA memiliki semua ramuan untuk menjadi acara mega.
Namun kejohanan 32 pasukan yang akan berlangsung di seluruh Amerika Syarikat dari 14 Jun hingga 13 Julai ini menerima kritikan dan keraguan sejak mula dicadangkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Sebagai kejohanan baharu yang muncul dalam kalendar bola sepak yang sudah sedia padat, masih belum jelas sama ada ia mampu mendapat tempat tetap dalam jadual antarabangsa.
Wakil pemain seperti kesatuan global FIFPro sudah memberi amaran mengenai beban kerja berlebihan ke atas pemain, sementara sesetengah pihak pula mempersoalkan sama ada penyokong akan hadir dalam jumlah yang besar untuk menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan.
"Pemain terpaksa beraksi selepas musim selama 11 bulan dengan hampir tiada masa rehat sebelum musim baharu bermula," kata FIFPro ketika FIFA mengumumkan kejohanan itu secara rasmi pada tahun 2023.
Kejohanan ini sememangnya menambahkan lagi tekanan kepada jadual pemain bertaraf dunia.
Marcus Thuram (Inter Milan) dan Desire Doue (PSG) beraksi pada final Liga Juara-Juara UEFA pada 31 Mei lalu, kemudian mewakili negara masing-masing dalam Liga Negara-Negara di Jerman beberapa hari kemudian - dan kini kembali menyertai kelab untuk kejohanan FIFA ini.
Perlawanan di peringkat akhir - yang dijangka menampilkan kelab elit Eropah menentang pasukan terbaik Amerika Selatan - dijangka menarik kehadiran besar.
Namun masih menjadi tanda tanya sama ada perlawanan peringkat kumpulan seperti pertembungan Ulsan HD (Korea Selatan) dan Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan) pada 17 Jun di Orlando mampu menarik penonton.
FIFA berharap penyiar seperti DAZN yang menawarkan penstriman percuma dan jenama besar kelab serta pemain dapat memikat peminat di seluruh dunia.
"Kami sedang bercakap mengenai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, membawa keajaiban Piala Dunia antarabangsa ke peringkat kelab," kata Infantino.
"Ini akan menjadi permulaan kepada sesuatu yang bersejarah dan akan mengubah sukan ini ke arah yang lebih baik buat generasi akan datang."
Dalam era yang mana pemain sering lebih popular daripada kelab, kehadiran nama besar seperti Lionel Messi, Harry Kane dan Kylian Mbappe dijangka memastikan tumpuan meluas di media sosial.
Sebanyak 12 kelab dari Eropah menyertai kejohanan ini termasuk juara Liga Juara-Juara, PSG, Real Madrid, Manchester City, Chelsea serta kelab ternama Jerman, Bayern Munich.
Amerika Selatan pula diwakili enam kelab, termasuk empat dari Brazil (antaranya juara Copa Libertadores, Botafogo dan pesaingnya Flamengo) serta dua kelab besar Argentina, River Plate dan Boca Juniors.
Tiga kelab dari Major League Soccer (MLS) - Los Angeles FC, Seattle Sounders dan Inter Miami (diketuai Messi) - turut serta bersama dua kelab Mexico, Pachuca dan Monterrey, yang dijangka mendapat sokongan padu di Amerika.
Empat kelab dari Afrika akan bertanding termasuk kelab terkenal Mesir, Al Ahly, yang akan membuka tirai kejohanan menentang Inter Miami pada 14 Jun.
Dari Asia pula, antara yang menyertai adalah Al-Hilal dari Arab Saudi.
Peminat di AS sememangnya gemar menonton kelab Eropah beraksi di stadium NFL dalam perlawanan persahabatan pramusim, jadi elemen kompetitif kejohanan ini dijangka menarik lebih ramai penyokong untuk kelab ternama.
Persoalan sama ada kelab benar-benar serius dalam kejohanan ini mulai reda selepas FIFA mengumumkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$1 bilion - dengan pemenang boleh membawa pulang sehingga AS$125 juta (RM529 juta).
Buat masa ini, FIFA merancang untuk menganjurkan kejohanan ini setiap empat tahun, namun hasil penganjuran edisi pertama bakal menentukan masa depannya.
Sekiranya gagal menarik perhatian, pengkritik pasti akan kembali mempertikaikan kewajarannya. Namun jika ia mencetus kejayaan besar, tidak mustahil FIFA akan mempertimbangkan untuk menganjurkannya secara lebih kerap. – AFP
Related News
12 May, 2025
Toronto Maple Leafs vs. Florida Panthers . . .
10 Apr, 2025
Olympics make shock decision to add mixe . . .
17 Feb, 2025
Global music stars eye India, but organi . . .
10 Mar, 2025
Wales duo Tom Rogers and Josh Adams rule . . .
12 Jun, 2025
Chelsea Goal of the Season winner confir . . .
03 Apr, 2025
Sports News | MASTERS ''25: McIlroy Take . . .
17 Apr, 2025
Sports News | Rohit, Gill, Buttler Can N . . .
18 Apr, 2025
I was a typical teenager who lived onlin . . .